Ceritera seorang jutawan muda

MILEY Cyrus bersama anugerah Lagu Filem Terbaik untuk lagu The Climb yang dimenanginya di Anugerah Filem MTV, baru-baru ini

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)


Ceritera seorang jutawan muda

NAMA Miley Cyrus kini berada di puncak yang paling tinggi dan dia juga merupakan antara bintang muda Hollywood yang cukup diminati.

Semuanya terhasil daripada impak sitkom lakonannya, Hannah Montana yang mula mencuri perhatian ramai sejak ia mula ditayangkan pada tahun 2006.

Dalam siri terbitan Disney itu, Cyrus memegang watak sebagai Miley Stewart dan Hannah Montana yang merupakan dua personaliti yang cukup berbeza.

Malah, ramai yang berpendapat Hannah Montana hakikatnya merupakan cerminan kepada kehidupan realiti Cyrus hari ini.

Biarpun dilahirkan sebagai anak kepada penyanyi country terkenal, Billy Ray Cyrus dan melihat kelebihan itu sebagai batu loncatan untuknya, namun Cyrus mampu bergerak dan berdiri atas nama sendiri.

Masakan tidak, Cyrus merupakan seorang remaja dan dalam masa yang sama menjalani kehidupan sebagai seorang superstar yang telah meletakkan namanya sebagai artis muda paling berjaya setakat ini.

Namun, bagi Cyrus apa sahaja yang dilaluinya hari ini tetap tidak akan mengubah pendiriannya kerana jauh di sudut hatinya, dia masih menganggap dirinya sebagai seorang remaja lain seusianya.

Biarpun usianya baru sahaja 16 tahun tetapi Cyrus merupakan seorang yang cukup matang apabila membicarakan tentang kehidupannya sebagai seorang remaja dan juga artis tersohor.

Jelasnya, statusnya sebagai seorang artis bukanlah menjadi satu tiket untuk melakukan apa sahaja yang diinginkannya.

Enggan menjadi seorang artis bermasalah seperti mana yang dihadapi oleh rakan-rakan artis lain seperti Lindsay Lohan dan Britney Spears, perkara pertama yang dia fikirkan dalam setiap langkahnya adalah keluarganya.

"Perkara terakhir yang saya akan lakukan adalah untuk mengecewakan kedua ibu bapa dan keluarga saya. Jika ada apa-apa yang terjadi kepada salah seorang orang tua saya, tiada apa yang saya mahukan melainkan mereka berasa bangga dengan pencapaian saya.

"Jadi, saya fikir untuk melibatkan diri dalam gejala sosial seperti mereka yang lain adalah satu perkara yang sungguh memalukan dan ia bukanlah cara saya.

"Saya ada dua orang adik yang masih kecil dan pastinya, saya tidak mahu mereka dipermainkan dan dimalukan di sekolah hanya kerana tindakan bodoh saya," jelas Cyrus yang tidak kisah dilabelkan sebagai seorang gadis yang memiliki pemikiran kolot.

Malah, beberapa tahun kebelakangan ini Cyrus merasakan menjadi seorang artis telah membuka mindanya terhadap perspektif baru dalam karier seninya.

Menjejakkan kaki ke Oscar pada usia 13 tahun serta menjalin hubungan cinta selama dua tahun dengan bekas kekasihnya yang merupakan salah seorang anggota kumpulan The Jonas Brothers, Nick Jonas sudah cukup memberinya satu pengalaman baru.

"Mungkin orang lain akan mampu menikmati semua itu hanya pada usia 19 atau 20 tahun tetapi saya melaluinya dalam usia muda. Tetapi, semuanya masih terkawal dan ia juga merupakan satu tanggungjawab yang besar," ujarnya lagi.

Menjalani kehidupan sebagai seorang artis dalam usia yang cukup muda tidak pernah membuatkan anak kelahiran Nashville, Tennessee, Amerika Syarikat ini berasa sesal.

Kerana baginya, dia masih memiliki ibu bapa yang masih lagi menjaga dan mengambil berat tentang dirinya walaupun dia merupakan seorang figura popular dan diminati ramai.

Cukup matang

"Saya akui, kadang-kala saya merasakan diri saya sudah cukup matang untuk usia saya. Tetapi, dalam masa yang sama, saya juga rasa saya bukan seorang yang matang.

"Percaya atau tidak, kalau ada masa terluang saya masih lagi akan tidur sekatil bersama kedua orang tua saya terutama sekali dengan ibu saya. Setelah seharian penat bekerja, dialah orang yang saya lari untuk mendapatkan pelukan dan ciuman.

"Saya jarang sekali berkumpul mahupun bergaul dengan orang sebaya saya. Jadi, saya tidak tahu bagaimana karakter seorang remaja yang berusia 16 tahun. Saya hanya melakukan apa yang saya fikir betul sahaja," ujar gadis manis yang mula menceburkan diri dalam bidang seni sejak usia sembilan tahun lagi.

Di sebalik kemilau glamor dan kemewahan yang dikecapinya, nama Cyrus pernah juga terpalit kontroversi apabila beberapa gambarnya tersebar di Internet sehingga dia dilabelkan sebagai seorang yang bersifat perkauman.

Semuanya gara-gara dia membuat aksi dan mimik muka seperti orang Cina yang memiliki mata sepet.

"Saya memang menyesal atas apa yang terjadi dan saya meminta maaf kepada semua pihak yang terasa dan kecil hati dengan tindakan saya itu. Saya tidak mempunyai apa-apa niat jahat sebaliknya hanyalah gurauan. Apa pun, saya akan menjadi lebih berhati-hati selepas ini," ceritanya penuh jujur.

Malah, sepanjang menjadi anak seni Cyrus memberitahu, dia sudah terlalu matang untuk menilai baik dan buruk untuk dirinya.

Ujarnya, kini dia sudah tahu bagaimana untuk menghormati dirinya sendiri serta belajar untuk mengatakan tidak untuk perkara yang dirasakan tidak baik untuk dirinya.

"Bukan itu sahaja, dalam hidup mungkin kita boleh mempunyai beratus orang kawan tetapi bagi saya, bilangan yang boleh dipercayai hanyalah dalam mungkin empat orang sahaja.

"Kerana kita tidak tahu apa yang berlaku apabila kita bergaul dengan mereka yang mungkin mahu mengambil kesempatan terhadap kita dan sekali gus mahu melakukan perkara yang tidak baik kepada kita," kata Cyrus yang juga bersahabat baik dengan penyanyi terkenal, Taylor Swift.

Kegemilangan yang dikecapi oleh Cyrus sememangnya cukup membanggakan. Jika sedekad yang lalu, nama-nama seperti Britney, Christina Aguilera, Mandy Moore dan Jessica Simpson mempelopori industri seni Hollywood.

Tetapi, kini Cyrus mengambil alih takhta itu daripada mereka. Dengan sambutan hangat yang merangkumi penjualan album, sitkom dan kutipan filem terbarunya, Hannah Montana: The Movie, nilai aset Cyrus juga meningkat seiring dengan popularitinya.

Ditambah pula dengan beberapa projek yang melibatkan francais Hannah Montana kelak antaranya dalam bidang fesyen dan kecantikan, adalah diramalkan nilai Cyrus bakal mencecah AS$1 billion (RM3.5 billion)!

Berbicara tentang filem terbarunya, Hannah Montana: The Movie yang sudah ditayangkan di pawagam tempatan bermula 4 Jun lalu, Cyrus sememangnya cukup teruja dengan pembikinan filem itu.

Menyifatkan ia jauh lebih matang daripada apa yang ditonjolkan dalam sitkom, Cyrus mahu penonton dan peminatnya yang menonton akan dapat merasai serta menyelami apa yang dimahukan oleh dua watak yang dibawakannya dalam filem berkenaan.

"Kalau boleh, saya mahu mereka seolah-olah berada di kampung halaman saya dan tahu bagaimana kehidupan sebenar saya.

"Biarpun secara luarannya saya merupakan seorang artis, tetapi jauh di dalam lubuk hati, saya masih Miley Cyrus yang sama," katanya penuh makna.

Bukan itu sahaja, filem ini juga memaparkan bagaimana watak Hannah jatuh cinta buat pertama kalinya dengan seorang pemuda di kampungnya.

Melihat dirinya sebagai seorang isteri dan ibu mithali dalam 10 tahun akan datang, Miley mengharapkan untuk memiliki sebuah kehidupan yang penuh riang dan sempurna serta kebahagiaan yang berpanjangan di masa hadapan.

"Saya akan berkahwin dan mahu menjadi seorang ibu yang cool di mana anak-anak saya akan berlari mendapatkan saya sebaik sahaja mereka pulang dari sekolah. Selain itu, saya mahu terus menjadi seorang pelakon dan membintangi filem-filem yang bagus.

"Dalam erti kata lain, saya mahu menjadi seperti ibu saya sekarang," katanya yang baru sahaja menyambung kontrak bersama Disney untuk sitkom Hannah Montana bagi musim keempat.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.