Megan Fox Takut Angelina Jolie

DIA dibandingkan dengan Angelina Jolie, dilabelkan sebagai klon kepada aktres seksi itu, malah dikata bakal menggantikan Angelina untuk melakonkan watak utama francais filem Tomb Raider iaitu Lara Croft.

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)


Enggan jadi klon

Penampilan, imej, aura simbol seks, sehinggalah tatu yang tertera pada tubuhnya dikatakan menyamai Angelina. Malu dengan perbandingan itu kerana berpendapat Angelina jauh lebih hebat berbanding dirinya, Megan tidak pernah menyangka dirinya akan menjadi popular seperti hari ini.

Namun, Megan mempunyai pandangan tersendiri mengenai Angelina yang sebelum ini dilaporkan tidak senang dibandingan dengan bintang yang baru bersinar sepertinya.

Picture
"Saya sebenarnya takut dengan Angelina"

Saya tidak pernah meraih peluang untuk bersua dengannya dan saya cuba untuk tidak bersua dengannya kerana ke takutan itu. Angelina merupakan individu yang sangat berpengaruh dan saya berani bertaruh dia akan makan saya hidup-hidup. Saya rasa sebab itulah saya takut sangat dengan Angelina,"katanya.

Tambah Megan dia sudah banyak menolak tawaran berlakon filem kerana tidak mahu penonton berfikir dirinya cuba menjadi klon Angelina Jolie.

Aktres kelahiran Tennessee, Amerika Syarikat itu memulakan karier sebagai model dan berlakon sejak tahun 2001 dengan memegang watak sampingan dalam filem Holiday In The Sun (2001). Dia kemudiannya mula menggilap nama dan bakatnya apabila muncul sebagai pelakon tetap siri komedi, Hope & Faith dari 2001 hingga 2004.

Namun, pemilik nama Megan Denise Fox itu hanya mula dikenali secara komersial menerusi filem lakonan utama Lindsay Lohan, Confessions Of A Teenage Drama Queen (2004). Akhirnya dia menempa populariti di peringkat global selepas kemunculan yang penuh efektif menerusi naskhah Transformers (2007).

Keupayaannya menyerlah menerusi watak Mikaela Banes, teman wanita watak Sam lakonan Shia Labeouf dalam filem yang penuh dengan watak-watak robot mesin itu cukup mengagumkan. Justeru, tidak menghairankan apabila dia kembali kali ini menerusi sekuel filem itu yang berjudul, Transformers: Revenge of the Fallen.
Picture
Bakal muncul menerusi 3 filem baru iaitu Jennifer's Body, Jonah Hex dan The Crossing, Megan sempat digosipkan menjalin hubungan cinta dengan Shia.


Menyelitkan lebih banyak aksi, sekuel Transformers yang masih mengekalkan pengarahnya, Michael Bay itu turut dibintangi Josh Duhamel, Tyrese Gibson, Isabel Lucas dan John Turturro. Bagi mendalami filem yang menelan bajet AS$200 juta (RM706 juta), ikuti petikan temu bual Megan yang disediakan oleh United International Pictures (Malaysia)

Perasaan anda kembali dalam francais filem yang membuatkan anda popular di peringkat global?

MEGAN FOX: Saya berasa teruja untuk kembali terbabit dengan siri filem Transformers kerana ia berbeza dengan pengalaman saya ketika berlakon filem bajet rendah.

Menjalani penggambaran untuk filem bajet rendah adalah satu proses yang lambat dan anda akan mengambil masa tiga hari untuk merakamkan satu babak. Tapi untuk filem Transformers, kami boleh merakamkan separuh daripada filem dalam masa sehari. Jadi ia amat menarik dan menyeronokkan.

Bagaimana watak anda berkembang kali ini?

Hubungan antara Sam dan Mikaela sudah terjalin selama dua tahun jadi ia tidak memaparkan proses romantik antara mereka berdua lagi. Mereka selalu bergaduh. Sama seperti pasangan tua yang sudah lama berkahwin.

Berapa banyak lakonan aksi yang membabitkan anda?

Rasanya untuk keseluruhan filem. Saya pasti kami tidak pernah mempunyai satu penggambaran yang tidak memerlukan kami berlari. Jadi, itu semua adalah aksi.

Pengalaman untuk menjalani penggambaran menyelamatkan dunia di lokasi bersejarah, di Mesir?

Mesir merupakan satu tempat yang menakjubkan. Saya baru sahaja mengetahui dan tidak tahu sejauh mana kebenarannya bahawa produksi kami merupakan filem pertama sejak tahun 1930-an yang menjalani penggambaran di situ. Ini yang membuatkan ia amat istimewa. Semasa di Mesir, kami asyik berdebat sama ada piramid itu sebenarnya dibina oleh manusia atau makhluk asing.

Filem pertama Transformers (2007) amat berjaya dan mengejutkan ramai pihak. Pernahkah anda menyangka untuk kembali dalam sekuelnya dalam tempoh hanya dua tahun?

Secara jujurnya, kami semua tahu keuntungan yang diperolehi filem itu dan telah meneka bahawa kami akan kembali untuk sekuelnya. Lagipun watak-watak lakonan kami amat muda dari segi usia. Jadi tiada siapa yang mahu melihat Sam dan Mikaela semasa mereka berusia 30 tahun. Maka, filem itu perlu segera dibikin sejurus selepas edisi pertama.

Adakah anda teruja untuk berada di tahap sekarang?

Ia satu rahmat untuk terlibat sama dalam filem ini. Saya agak baru ketika terlibat dalam Transformers. Saya amat takut sehingga tidak mampu membuka mulut dan bercakap. Namun, selepas menimba pengalaman, saya secara natural berkembang menjadi seorang pelakon. Apa yang utama adalah bersifat jujur di hadapan kamera.

Apakah robot Transformers kegemaran anda dalam filem ini?

Devastator. Saya tidak mempunyai peluang untuk berinteraksi dengan dia dan tanggungjawab dia adalah untuk memusnahkan semua benda di hadapan kami.

Adakah sukar untuk berlakon apabila Michael Bay yang terkenal dengan kaedah kerjanya yang merakam filem dengan kadar cepat?

Bahagian yang paling sukar selain daripada sakit badan adalah semasa saya berada di lokasi, saya menyangka bahawa saya akan merakamkan babak berlari. Tapi sebenarnya saya diperlukan untuk merakamkan babak emosi. Semua itu berlaku tanpa latihan. Saya cuma diberitahu apa yang perlu dikata dan dilakukan dan kamera akan terus merakam. Itu amat sukar dan anda perlu memiliki ingatan yang bagus.

Bagaimana kejayaan Transformers telah mengubah hidup anda?

Ia berlaku secara berperingkat. Tapi apa yang boleh dikatakan hidup saya memang berbeza. Tiada siapa di antara kami yang boleh bercakap sesuatu tanpa menjadi berita utama di laman web Yahoo!. Jadi kami tidak berjenaka atau melakukan kerja-kerja 'bodoh' seperti dulu. Kami perlu berhati-hati kerana ramai orang yang memerhatikan kami.

Adakah anda berdepan dengan masalah solekan apabila perlu berlari dalam cuaca yang panas?

Michael sebenarnya tidak begitu suka dengan dandanan rambut serta solekan dan saya pula tidak suka duduk di atas kerusi berjam-jam lama untuk bersolek. Jadi, jika solekan itu pudar atau comot, kami biarkan sahaja supaya kelihatan lebih natural.

Betulkah anda dikatakan perlu menaikkan berat badan untuk naskhah kedua Tranformers itu?

Sebelum ini saya perlu mengurangkan berat badan dalam filem Jennifer's Body apabila melakonkan watak zombie yang amat kurus. Saya hilang 15 paun dan kelihatan tidak sihat. Michael pula tidak suka imej wanita terlalu kurus.

Dia suka wanita yang kelihatan sihat secara fizikal dan saya perlu menaikkan berat badan. Bagaimana saya menaikkan berat badan? Kek adalah jawapannya. Saya akan makan kek setiap malam selepas makan malam pada pukul 10.30 malam dan telah naik 10 paun dalam masa tiga minggu.

Pernahkah anda terfikir bagaimana lakonan telah membuka peluang kepada anda untuk mengembara ke negara luar?

Saya tidak pernah keluar melancong sebelum saya terlibat dengan Transformers. Saya tidak mempunyai pasport dan perlu mendapatkannya untuk promosi jelajah Transformers. Kami perlu pergi ke banyak tempat dan ia amat menyeronokan. Saya melihat benda yang mungkin tidak akan dilihat oleh orang lain.

Anda akan terlibat dalam filem ketiga atau keempat jika francais ini diteruskan?

Pastinya. Ia sebuah cerita yang hebat tetapi saya rasa kami memerlukan sedikit rehat untuk mengumpul semula tenaga.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.