Sinopsis Muka Surat Cinta

Muka Surat Cinta (judul asal Perempuan Mukasurat Tujuh) merupakan sebuah filem drama romantik Malaysia 2014 arahan Pierre Andre terbitan Metrowealth.

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)



Perkahwinan Putra dan Luna sudah menjangkau usia setahun, tetapi hubungan mereka seperti sudah menuju kegagalan.

Picture
Putra seperti kehilangan dirinya dalam mencari sumber inspirasi untuk menulis novel seterusnya.

Namun pada satu hari, Putra tertarik dengan kata-kata yang ditulis oleh seorang gadis dalam sebuah novel yang dipinjamnya sehingga membuat keputusan untuk mencari penulis tersebut.



Bahasa: Melayu
Sarikata: NA
Klasifikasi: U
Tarikh Tayangan: 16 Jan 2014
Genre: Romantik
Durasi: 75 Minit
Pengedar: METROWEALTH
Pelakon: Mikail Andre, Nina Iskandar, Atikah Suhaimie, Hilal Azman, Lan Zailan
Pengarah: Pierre Andre
Format: 2D

Soal cinta memang sukar dimengerti dan hanya hati saja dapat mengungkap jawapannya.


Itulah yang cuba dipersembahkan pengarah berbakat, Pierre Andre dalam filem genre romantik terbarunya, Muka Surat Cinta yang menemui penonton di seluruh tanah air mulai esok.

Mengetengahkan pencarian cinta seorang penulis novel terlaris, Putra lakonan Mikail Andre yang bersikap dingin dengan isterinya, Luna (Nina Iskandar) kerana mereka berkahwin secara paksa atas kehendak keluarga.

Putra menjadi keliru dengan perasaannya sepanjang perkahwinan bersama Luna sehinggalah dia mendapat ‘petunjuk’ dari novel berjudul Mencari Cinta yang dibacanya dan menjadikan Putra tertarik pada coretan dalam setiap muka surat.

Berminat untuk mengenali ‘siapa’ wanita yang pernah menuliskan ungkapan yang cukup bermakna itu membuatkan Putra berusaha habis-habisan menjejaki si gadis empunya diri.

Justeru, mampukah Putra menemui gadis impian hatinya yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Nur Di Awan’. Bahkan, bagaimana pula dengan ikatan perkahwinannya bersama Luna?

Pierre berkata, filem Muka Surat Cinta yang asal judulnya ialah Perempuan Muka Surat Tujuh adalah karya eksperimen terkininya dalam membicarakan mengetengahkan sebuah karya cinta di layar perak.

“Saya sebenarnya teruja dengan penerbitan filem ini kerana sudah agak lama tidak muncul dengan naskhah romantik yang membicarakan elemen cinta untuk ditonton masyarakat.

“Apatah lagi, penonton mungkin lebih mengenali saya menerusi filem yang bergenre seram. Jadi, merealisasikan karya cinta kepada filem adalah cabaran sangat besar kepada saya.

“Bagaimanapun, saya sudah berusaha melakukan sebaik mungkin dalam menterjemahkan karya ini terutama pada karakter Putra yang digambarkan sebagai seorang penulis novel juga pensyarah fakulti penulisan di kolej yang berhadapan masalah dingin bersama isterinya,” katanya.



Pierre berkata, selain elemen cinta dan genre romantik yang cuba diketengahkan, dia juga dengan berani menampilkan gabungan barisan pelakon baru di bawah label residen artis MIG.

Bukan itu saja, filem Muka Surat Cinta arahan istimewa Pierre itu juga buat julung kalinya menampilkan gabungan pelakon muda dari tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Mengakui selesa bekerja dengan pelakon baru, Pierre berkata, apa yang pasti semua mereka ada bakat, mempunyai minat dan perlu diberi ruang serta peluang untuk menonjolkan potensi diri sebagai anak seni.



Bagi penerbit filem ini, David Teo, pihaknya sentiasa bersikap terbuka menghasilkan filem pelbagai genre sebagai kepekaan terhadap cita rasa dan juga kehendak penonton tempatan.

Oleh itu, katanya beliau sangat berbesar hati dan bangga apabila filem Muka Surat Cinta yang diarahkan Pierre itu mampu menggabungkan kombinasi pelakon dari tiga negara.

“Sebagai filem ke-88 terbitan Metrowealth Pictures Sdn Bhd (MIG), saya sangat gembira kerana karya Muka Surat Cinta ini membariskan pelakon muda berbakat dari Malaysia, Singapura dan Brunei.



“Bahkan, semoga filem ini yang menjadi pembuka tirai bagi MIG akan membawa keuntungan selepas faktor kutipan merudum yang dihadapi industri filem Melayu pada tahun lalu,” katanya.

Menurut David, memandangkan tidak lama lagi juga kedatangan sambutan Tahun Baru Cina yang meraikan ‘Tahun Kuda’ pada 2014 ini, ia pada David membawa cabaran besar.



Apapun, ujarnya beliau takkan patah semangat untuk terus menerbitkan filem pelbagai genre. Menurut David, apa yang diharapkannya adalah sokongan orang ramai untuk datang menonton di pawagam.

Sehubungan itu, barisan pelakon lain yang turut membintangi filem Muka Surat Cinta selain Mikail dan Nina ialah Atikah Suhaime, Azwan Kombos, Hilal Azman serta Afiera Riana.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.