Penyanyi rock lagenda dari Amerika Syarikat, Lenny Kravitz bakal bertemu dengan peminat di konsert yang akan berlangsung di Helipad, Litar Antarabangsa Sepang pada 29 Mac nanti.
Konsert yang diadakan selepas perlumbaan perlumbaan Formula Satu Petronas Grand Prix Malaysia 2015 itu nanti, akan bermula pada 6.30 petang sehingga 11.30 malam untuk semua pemegang tiket.Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Dato' Razlan Razali berkata, untuk konsert kali ini, pihaknya mahu memberikan kelainan sebagai tanda ucapan terima kasih kepada penyokong F1.
"Selepas bertahun-tahun menyaksikan kemeriahan konsert di Litar Sepang, tahun ini, buat pertama kalinya, kita mahu memberikan sesuatu yang lebih mendebarkan dan juga sebagai tanda terima kasih kepada semua pemegang tiket F1 atas sokongan berterusan mereka, kami akan menampilkan konsert selepas perlumbaan untuk semua penonton tanpa sebarang caj tambahan.
"Sebelum ini, hanya pemegang tiket Grandstand sahaja yang boleh melihat konsert secara percuma manakala yang lain dikenakan caj tambahan. Tetapi tahun ini, peminat F1 boleh menyaksikan perlumbaan dan selepas itu menonton konsert pada hari yang sama, dengan harga tiket serendah RM80 sahaja."
Untuk maklumat lanjut mengenai tiket perlumbaan Formula Satu Petronas Grand Prix Malaysia 2015, layari laman web rasmi SIC, http://www.sepangcircuit.com/Ticketing-@-Overview.aspx atau hubungi talian hotline 03-8778 2222.