Anak Beyonce, Blue Ivy tercalon Anugerah BET pada usia 8 tahun

Kanak-kanak ini juga pernah menerima anugerah untuk penulisan lagu di Anugerah Soul Train pada tahun 2019. - Foto Twitter
Anak Beyonce, Blue Ivy tercalon Anugerah BET

SIAPA menyangka pada usia lapan tahun anak kepada bintang R&B, Beyonce Knowles dan rapper Jay-Z, Blue Ivy Carter telah berjaya menerima pencalonan untuk sebuah anugerah muzik berprestij di Amerika Syarikat (AS)?

Blue Ivy dicalonkan untuk anugerah HER di Anugerah BET susulan penampilannya dalam sebuah lagu berjudul "Brown Skin Girl" untuk sebuah album tema bagi filem animasi hit terbitan Disney pada tahun 2019, The Lion King.



Kategori HER ini merupakan suatu kategori untuk mengiktiraf lagu-lagu bergenre neo soul dan tradisional R&B.

Difahamkan, Blue Ivy bakal bersaing bersama nama-nama tersohor yang lain seperti Lizzo, Alicia Keys, Lupita Nyong’o, Missy Elliot, Ciara dan ramai lagi.

Anugerah BET (Black Entertainment Television) merupakan anugerah oleh sebuah syarikat saluran kabel, Black Entertainment Television dan dilancarkan pada tahun 2001. Ia bertujuan untuk memperkasakan penggiat seni kulit hitam dan kaum minoriti lain di AS.


Anugerah BET pada tahun ini bakal berlangsung pada Ahad, 28 Jun akan datang.

Tidak terkecuali ibu kepada Blue, Beyonce yang juga turut mendapat pencalonan untuk beberapa kategori anugerah seperti Artis Wanita Terbaik bagi kategori R&B/Pop, Album Terbaik bagi albumnya keluaran terbaharunya, Homecoming: The Live Album dan Filem Terbaik untuk filem konsertnya yang diterbitkan di platform penstriman, Netflix yang berjudul Homecoming.


Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama Blue Ivy mendapat pengiktirafan untuk penampilannya dalam lagu "Brown Skin Girl".

Kanak-kanak ini juga pernah menerima anugerah untuk penulisan lagu di Anugerah Soul Train pada tahun 2019.

Lagu "Brown Skin Girl" ini juga turut menampilkan beberapa artis lain termasuklah Beyonce, Wizkid dan SAINt JHN yang juga terlibat dalam pembuatan album tema ini bagi filem The Lion King. Blue turut diiktiraf sebagai salah seorang penulis lagu tersebut.

Lebih menarik lagi, Blue juga pernah mendapat tempat ke-77 dalam carta US Billboard Hot 100 untuk lagu "Brown Skin Girl" serta merupakan individu termuda yang pernah memasuki carta tersebut.


Lagu ini juga telah melepasi angka satu juta jumlah pendengar di platform penstriman muzik, Spotify pada Februari lalu.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.