Rihanna cacatkan Grammy - Larikan diri bersama kekasih


Rihanna cacatkan Grammy - Larikan diri bersama kekasih

MAJLIS anugerah Grammy ke-51 yang berlangsung di Los Angeles, Ahad lalu telah mengangkat Robert Plant dan Alison Krauss sebagai pemenang kategori album terbaik menerusi album Raising Sand selain memenangi tiga lagi anugerah.



JENNIFER HUDSON tidak mampu mengawal emosinya.

Tetapi kuasa dan kehebatan dua artis berkenaan tidak mampu mengatasi kejutan utama yang berlaku tanpa diduga pada majlis gilang-gemilang itu.

Kejutan paling besar malam itu tiba sebelum majlis anugerah itu bersiaran di kaca televisyen apabila pihak polis mengumumkan penyiasatan ke atas penyanyi Chris Brown.

Brown telah didakwa melakukan serangan jenayah ke atas seorang wanita yang tidak dikenal pasti.


AKU bukan saja kacak, tetapi suaraku juga hebat. Mungkin ini yang dibicarakan John Mayer sewaktu trofi Persembahan Vokal Solo Rock Terbaik menjadi miliknya.

Menurut laporan polis yang dikeluarkan 90 minit sebelum majlis berlangsung, Brown dan wanita tidak dikenali itu berada dalam sebuah kereta di kejiranan Hancock Park sebelum mereka mula bertengkar sekitar pukul 12.30 pagi.

Brown memberhentikan kereta dan meneruskan pergaduhan besar mereka.
Wanita yang mengalami kecederaan itu mengesahkan orang yang menyerangnya ialah Brown. Bagaimanapun, Brown telah meninggalkan lokasi kejadian ketika pihak polis tiba di situ.


RIHANNA hanya muncul di karpet merah sebelum ‘melarikan’ diri ekoran kes pergaduhan teman lelakinya.

Teman wanita Brown, penyanyi Rihanna yang juga dicalonkan dalam majlis anugerah tersebut turut menghilangkan diri pada saat-saat akhir acara, sedangkan mereka berdua dijadualkan membuat persembahan pada malam itu.

Rihanna sebelum itu bagaimanapun hadir ke acara karpet merah dengan memakai gaun berwarna biru yang menyerlahkan keanggunannya.

Kehilangan Rihanna malam itu dikatakan ada kaitan dengan penyiasatan polis terhadap Brown.

Malah, kehilangan mereka berdua telah 'mencacatkan' majlis anugerah itu. Rihanna sepatutnya menyanyikan lagu berjudul Live Your Life dan Disturbia sebagai persembahan kedua malam itu, manakala Brown pula seharusnya menyanyikan lagu berjudul Forever.

Mereka berdua tercalon dalam kategori Kolaborasi Pop Vokal, Brown untuk lagu No Air, iaitu duet bersama Jordin Sparks dan Rihanna untuk lagu If I Never See Your Face Again, duet bersama Maroon 5.

ROBER PLANT dan Allison Krauss bersama anugerah mereka.

Brown juga dicalonkan untuk Persembahan Vokal Lelaki R&B menerusi lagu Take You Down.

Bagaimanapun, majlis anugerah Grammy tetap berjalan lancar tanpa mereka berdua dan ia berlangsung dengan penuh emosi apabila penyanyi Jennifer Hudson menerima anugerah Grammy pertamanya menerusi kategori Album R&B Terbaik.

Anugerah yang diterima menerusi albumnya yang berjudul Jennifer Hudson sungguh besar ertinya buat Hudson selepas melalui episod sedih apabila ibu, abang dan anak buahnya dibunuh pada Oktober tahun lalu.
BERKONGSI gembira. Jennifer Nettles (kanan) dan Kristian Bush (kiri) tidak mampu menahan rasa uja mereka ketika Sugar Land menerima Anugerah di pentas.

Dalam menahan kesedihan ketika menerima anugerah itu di pentas, Hudson menegaskan bahawa keluarganya sentiasa berada dalam fikirannya.
"Pertama saya ingin berterima kasih kepada Tuhan, saya juga ingin berterima kasih kepada keluarga saya di syurga dan kepada mereka yang bersama saya hari ini," ujarnya dalam nada penuh emosi yang turut meruntun jiwa sebahagian besar peminat penyanyi hitam manis itu di seluruh dunia.

PUAS hati. Duo adik-beradik, Mary Mary merasakan perjuangan seni mereka selama ini sudah berbayar.

Kemudian, Hudson mempersembahkan lagu berjudul You Pulled Me Through dengan penuh penghayatan. Tiba di penghujung rangkap akhir lagu itu, dengan lirik yang sungguh menyentuh perasaan, Hudson menitiskan air matanya sekali lagi.

Walaupun majlis anugerah Grammy tahun ini berlangsung dengan penuh drama, namun masih ramai yang bergembira dengan kejayaan masing-masing, antaranya Coldplay dan Lil Wayne yang memenangi tiga anugerah tahun ini.

Kemenangan Coldplay termasuklah menerusi Lagu Terbaik Viva La Vida.

"Kami tidak pernah memiliki anugerah sebanyak ini dalam hidup kami," ujar penyanyi utamanya, Chris Martin.
Mungkin kerana terlalu teruja dengan kemenangan mereka malam itu, Chris telah terkeliru dengan jumlah anugerah yang diterima.

"Kami bersyukur dengan kemenangan ini dan gembira berada di sini untuk menerima semua anugerah, saya rasa seperti mahu menangis," ujar Chris lagi.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.