Antara 5 Filem Shah Rukh Khan laku di Malaysia


Antara 5 Filem Shah Rukh Khan laku di Malaysia

Menjelang bulan November kelak, genaplah usia aktor tersohor Bollywood bernama Shah Rukh Khan ini 49 tahun. Dilahirkan pada 2 November 1965, Shah Rukh dilahirkan dari sebuah keluarga yang beragama Islam.

Anak kepada seorang pejuang kemerdekaan India iaitu Taj Mohammed Khan ini bukan sahaja cemerlang dari segi kariernya sebagai seorang pelakon, beliau juga merupakan seorang yang berpelajaran tinggi dan pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi dan komunikasi di universiti.

Mula dikenali dan popular di arena perfileman Bollywood apabila memegang watak sebagai Raja Sahai dalam filem "Deewana" yang ditayangkan pada tahun 1992.

Berbekalkan rupa paras yang kacak dan lakonan yang menyentuh perasaan, Shah Rukh pernah dilabel sebagai 'King Of Bollywood', 'The Tom Cruise from India', 'King Khan' dan banyak lagi jolokan yang diterima oleh suami kepada wanita bertuah bernama Gauri Chibber.

Jom kita lihat di antara lima buah filem yang pernah menjadi fenomena di Malaysia sehingga filem ini kerap kali ditayangkan kembali di kaca televisyen tempatan.

1. Kuch Kuch Hota Hai (1998) 


Filem arahan sutradara Karan Johar ini merupakan filem Bollywood yang pernah hits di 42 buah negara seluruh dunia termasuk Malaysia sendiri. Karya yang dibintangi oleh Shah Rukh, Kajol dan Rani Mukerjee ini merupakan filem yang terlaris di India pada tahun 1998 dan mendapat kuitpan pecah panggung di luar jangkaan.

Tidak hairan mengapa filem ini masih lagi dimainkan di televisyen kerana masih ada yang tidak jemu dan ingin menonton filem ini walaupun sudah ditayang berulang kali.

Filem ini memaparkan kisah persahabatan yang terjalin di antara Anjali, Rahul dan Tina semasa di universiti telah terputus semenjak Rahul memutuskan untuk melamar Tina sebagai isterinya di saat Anjali sangat menyayangi rakan karibnya itu.

Masa berganti masa, akhirnya jodoh mempertemukan Anjali dan Rahul kembali apabila anak perempuannya yang juga bernama Anjali menyertai sebuah perkhemahan musim panas.

2. Dil To Pagal Hai (1997) 


Karya yang membuka tayangan pertamanya pada tanggal 31 Oktober 1997 ini telah diarahkan oleh pengarah hebat di India iaitu mendiang Yash Chopra yang telah meninggal dunia pada Oktober 2012 yang lalu.

Filem romantik muzikal ini menggambarkan kehidupan cinta para penari iaitu Rahul, Pooja dan Nisha dalam kumpulan tari muzik yang dibintangi oleh Shah Rukh bersama aktres Madhuri Dixit dan Karisma Kapoor.

"Dil To Pagal Hai" merupakan filem hits kedua terbesar pada 1997 dan menerima banyak pujian daripada pengkritik filem tempatan dan juga antarabangsa kerana jalan cerita dan muziknya yang hebat sehingga pernah memenangi sebahagian kategori utama di Anugerah Festival Filem India.

3. Diwale Dulhania Le Jayenge (1995) 


Filem arahan Aditya Chopra dan diterbitkan oleh mendiang Yash Chopra ini mengisahkan pasangan yang telah jatuh cinta ketika mereka berdua bertemu dalam rombongan yang sama ketika bercuti di sekitar negara Eropah.

Kembali dari percutian tersebut, sang jejaka akhirnya berjaya meyakinkan dirinya layak berkahwin dengan anak perempuan kepada si ayah daripada anaknya itu terpaksa menamatkan zaman bujangnya dengan seorang lelaki yang tidak dicintainya.

Selain menampilkan pasangan filem paling serasi iaitu Shah Rukh dan Kajol, kehebatan filem yang ditayangkan pada 20 Oktober 1995 ini tidak dapat disangkal lagi apabila memperolehi kutipan pecah panggung sekitar RM63.17 juta!

4. Kabhi Kushi Khabie Gham (2001)


Karya yang membariskan enam pelakon hebat Bollywood iaitu Amitabh Bachchan, Jaya Bachan, Shah Rukh, Kajol, Hrithik Roshan dan Kareena Kapoor turut tersenarai di antara filem Bollywood yang popular di kalangan masyarakat tempatan.

Filem yang mengangkat tema kekeluargaan ini menceritakan kisah keluarga di India yang menghadapi konflik apabila anak lelaki angkat mereka ingin berkahwin dengan gadis yang tidak setaraf dengan kedudukan keluarga mereka yang lebih berharta.

Walaupun filem ini mendapat kritikan yang hebat dari pengkritik filem di India, namun ianya tidak menghalang untuk filem ini mencapai kutipan pecah panggung bernilai RM60.1 juta.

5. Mohabbatein (2000) 


Filem arahan Aditya Chopra sememangnya mempunyai magisnya tersendiri apabila menampilkan filem romantik gandingan Amitabh Bachchan dan Shah Rukh Khan serta Aishwarya Rai yang tidak kurang hebatnya.

Walaupun menggunakan tema klise iaitu kisah percintaan yang mendapat halangan keluarga, namun filem ini menampilkan sedikit kelainan daripada filem-filem Bollywood yang lain apabila menampilkan suasana pelajar kolej yang dibintangi muka-muka baru seperti Uday Chopra, Jugal Hansraj, Jimmy Shergill, Shamita Shetty, Kim Sharma dan Preeti Jhangiani.

Berbekalkan variasi lagu yang mantap dan hebat, perjalanan cerita yang menghayat hati ini amat digemari oleh penonton tempatan terutamanya mereka yang sering mengikuti perkembangan filem-filem Bollywood lakonan Shah Rukh Khan.

Selain itu, filem ini turut menjadi antara filem Bollywood yang paling diingati dan mendapat perhatian media kerana buat pertama kalinya menggandingkan Shah Rukh dan Amitabh dalam filem yang sama.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.