Pelakon India dibayar murah untuk Filem Slumdog Millionaire ?

Pelakon India dibayar murah?

DI SEBALIK kejayaan filem Slumdog Millionaire meraih pelbagai anugerah berprestij dunia perfileman global termasuk 10 pencalonan Oscar pada tahun ini, kontroversi melanda apabila dua pelakon kanak-kanak filem itu khabarnya dibayar dengan jumlah yang terlalu kecil.

Apatah lagi kutipan filem arahan Danny Boyle itu kini mencecah AS$65 juta (RM247 juta). Saudara-mara dua pelakon India itu, Rubina Ali, 9, dan Azharuddin Mohammed Ismail, 10, yang melakonkan watak Latika dan Salim ketika kecil pada babak awal filem itu sebelum ini melahirkan perasaan tidak puas hati.

Mereka mendakwa penerbit filem itu, Fox Searchlight hanya membayar RM2,618 kepada Rubina dan Azharuddin pula dibayar RM8,902. Rubina dan Azharuddin menetap bersama keluarga masing-masing di kawasan setinggan di Bandra, Mumbai.

DAVID BOYLE (kiri) bersama Rubina (depan, kiri) dan Azharuddin (depan, kanan) dan para pelakon Slumdog Millionaire pada majlis Anugerah Screen Guild 2009.

Jurucakap syarikat tersebut bagaimanapun menegaskan kedua-dua Rubina dan Azharuddin dibayar tiga kali ganda berbanding gaji orang dewasa di India. Syarikat itu juga menaja persekolahan serta menubuhkan dana bagi masa depan mereka.

Dalam pada itu, bapa Rubina, Rafiq Qureshi dilaporkan mengiakan kenyataan Fox Searchlight itu. "Mereka (Fox Searchlight) telah melakukan lebih daripada apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa terhadap anak-anaknya," ujarnya kepada Contactmusic.

Kenyataan itu disokong oleh ibu Rubina, Munni Qureshi yang berkata: "Saya berasa sangat gembira anak perempuan saya kini telah menjadi terkenal."
Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.