Ramai yang terkejut apabila penyanyi Jason Derulo mengesahkan hubungan cintanya dengan Jordin Sparks telah berakhir sedangkan pasangan ini tidak pernah kisah mempamerkan kemesraan pada umum.
Derulo mengakui salah satu punca perpisahan mereka adalah dia masih belum bersedia untuk mengakhiri zaman bujang berbanding Sparks yang mahu membawa hubungan mereka ke peringkat lebih serius."Tekanan tersebut bukan datang daripada dia sahaja, malah semua orang. Ia bukanlah sebab utama, tetapi salah satu punca kami putus," ujarnya dalam temubual "On Air With Ryan Seacrest" baru-baru ini.
Malah Derulo, 25, berkata terlalu banyak tekanan dan pertengkaran dalam hubungan mereka sehingga menjadikannya kurang sihat.
"Apabila anda tidak lagi gembira bersama, anda tahu ia adalah petanda untuk mengakhiri hubungan tersebut. Ia tidak lagi sihat.
"Ia mungkin banyak mempengaruhinya berbanding saya. Ya, dia jadi terlalu kecewa," katanya.
Walaubagaimanapun Derulo menegaskan tiada kecurangan berlaku dalam hubungannya dengan Sparks.
"Setiap hubungan pasti ada pahit manis dan kami bersetuju untuk mengakhirinya. Tiada kecurangan berlaku sepanjang hubungan kami dan saya berharap semua akan menghormati privasi kami sementara kami meneruskan kehidupan masing-masing."
Derulo juga merasakan tempoh tiga tahun bersama agak lama sehingga menyebabkan mereka berasa 'terikat', sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku sedemikian.
Derulo yang pernah menghasilkan lagu "Marry Me" untuk Sparks ketika bersama mengakui mereka masih lagi belum berkomunikasi antara satu sama lain.