Adakah aktres Hollywood terkenal ini mahu bertukar kerjaya menjadi seorang peragawati?
Pelakon yang terkenal dengan siri filem "X-Men" dan "The Hunger Games", Jennifer Lawrence cukup berbakat dalam bidang lakonan sehingga berjaya memenangi pelbagai anugerah antaranya adalah Oscar.Namun selepas dia terpilih menjadi wajah untuk jenama terkenal Dior, Lawrence mendedahkan dia tiada masalah menjadi peragawati dan gembira dengan bidang yang baru diceburinya itu.
"Saya merasakan ketika berada di hadapan kamera, amat penting untuk mempunyai sesuatu karakter dalam fikiran anda, atau pun emosi supaya ia dapat dilihat pada mata anda," ujar Lawrence seperti dipetik daripada laporan Vogue.
"Peluang bekerjasama dengan Patrick Demarchelier untuk kempen Dior ini adalah satu peluang yang cukup baik buat diri saya. Dia adalah seorang lagenda dan mempunyai kepakaran dalam bidang ini."
Pada penghujung Ogos lalu, nama Lawrence terpalit kontroversi apabila gambar-gambar selebriti terkenal dalam keadaan bogel telah berjaya dicuri oleh sebuah penerbitan tidak sah. Selain daripada Lawrence, gambar-gambar selebriti seperti Kate Upton, Ariana Grande, Kim Kardashian, Kate Bosworth, Cara Delevingne, Mary-Kate Olsen, Amber Heard dan ramai lagi dilaporkan telah dicuri.
Dalam perkembangan lain, aktres berusia 24 tahun ini yang dikatakan sedang menjalin hubungan cinta dengan vokalis Coldplay, Chris Martin, bakal muncul dengan filem susulan "The Hunger Games: Mockingjay Part 1" yang akan ditayangkan di pawagam Malaysia pada 20 November akan datang.