AKTRES bertaraf Gred A di Hollywood sememangnya sudah kurang aktif dalam bidang lakonan sebaik sahaja dia mengambil keputusan untuk berumah tangga dan membesarkan tiga orang anaknya.
Namun begitu, Julia Roberts masih lagi menjadi rebutan dan pilihan produser serta pengarah filem Hollywood kerana pesonanya yang masih belum pudar itu.Terbaru, dia bakal bergabung sekali lagi dengan pengarah Garry Marshall yang sebelum ini pernah mengarahkannya dalam filem Pretty Woman dan Runaway Bride.
Filem yang berjudul Valentine's Day itu juga menyaksikan ramai lagi pelakon popular yang bakal membintanginya iaitu Ashton Kutcher, Bradley Cooper, Jessica Alba, Jennifer Garner, Anne Hathaway, Jessica Biel dan Shirley Maclaine.
Valentine's Day yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi itu akan menceritakan kisah beberapa orang pasangan di Los Angeles yang berdepan dengan pelbagai masalah menjelang Hari Valentine.
Kali terakhir Roberts muncul di layar perak adalah pada tahun 2007 menerusi filem Charlie Wilson's War.
Bagi mengubat kerinduan peminatnya, pemenang Oscar ini akan muncul dengan filem terbarunya tahun ini berjudul Duplicity di samping Clive Owen.