Transformers: Megan Fox sekadar penyeri

Transformers: Megan Fox sekadar penyeri

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)


Transformers: Megan Fox sekadar penyeri

Dengan segala publisiti yang diterima hasil kemunculannya dalam filem pertama, kemunculannya dalam filem ini tidak lebih sebagai penyeri saja.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai sumbangannya dalam episod kedua filem ini. Selain menjuihkan bibir, nampak seksi, menonggeng di atas motosikal tanpa tujuan, merengek serta memaksa kekasihnya mengakui menyintainya dan melunaskan babak cinta bersama si buah hati membuatkan penampilan Megan dalam filem ini seperti tempelan saja.

Penonton akan terpaku melihat aksi pertarungan dua kumpulan robot yang berebut kuasa

MEGAN Fox? Apa hebatnya dia dalam filem Transformers: Revenge of the Fallen?

Tidak syak, dia calon terbaik untuk merampas kedudukan Angelina Jolie sebagai aktres paling panas dan seksi. Namun, pada hakikatnya, lakonan Fox tidaklah sehebat mana. Dia beruntung kerana dianugerahkan wajah yang menarik, tubuh yang menggiurkan dan peluang muncul dalam filem sebesar Transformers ini.

Jika tidak kerana pengarah Michael Bay, mungkin dia hanyalah gadis kalendar yang menjadi penghias dinding.

Lupakan Fox kerana tanpa dirinya pun, Revenge of the Fallen tetap hebat dan mengagumkan. Disokong kerja kamera yang menakjubkan, kesan khas di luar khayalan, kemunculan beberapa watak robot baru (seperti Jetfire, The Twins, Wheelie, The Fallen, Demolishor dan Devastator), serta babak aksi yang merentap jantung, filem ini tentunya pilihan tepat untuk anda berhibur di panggung.

Hakikatnya, selepas berbulan-bulan membuat peminat gelisah menerusi tayangan treler di pawagam dan Internet, kini penantian dua tahun oleh pengikut setia Transformers terubat apabila filem keduanya, Transformers: Revenge of the Fallen, dibawa masuk ke pawagam seluruh dunia Khamis lalu.

Biarpun kurang mendapat tempat di hati pengkritik, kisah sambungan sekumpulan robot Autobot yang bersatu dengan manusia menentang misi jahat robot Decepticon tetap sebuah persembahan yang menghiburkan, penuh dengan babak aksi, komedi serta cerita cinta yang mempesona.

Lebih besar daripada filem pertama yang menemui penonton pada Julai 2007, Revenge of the Fallen tidak mustahil bakal muncul filem musim panas terhebat dan paling berjaya kutipannya di negara ini, seterusnya mengatasi pungutan Terminator Salvation yang dikatakan sudah pun melepasi angka RM15 juta di Malaysia saja.

Menerusi filem susulan ini, penonton dihidangkan dengan cerita kononnya dua tahun sudah berlalu sejak Sam Witwicky (Shia LaBeouf) dan Autobot menyelamatkan bumi daripada penjajahan Decepticon. Kini, Sam bersedia untuk berdepan cabaran lebih besar, iaitu meninggalkan rumah untuk belajar di universiti.

Walaupun dia pernah menjadi wira tidak lama dulu, namun cerita itu menjadi legenda kota dengan hanya pereka teori konspirasi yang mempercayainya. Sam masih seorang remaja yang teruja untuk menuju alam dewasa, keluar daripada rumah ibu bapanya (Kevin Dunn dan Julie White) buat kali pertama, serta menyatakan kesetiaan kepada kekasih, Mikaela (Megan Fox). Sudah tentulah, dia juga perlu menjelaskan pemergiannya kepada robot yang menjaga keselamatannya selama ini, Bumblebee.

Ketika yang sama, Autobot terus menetap di bumi dan bersatu dengan tentera dalam pasukan rahsia yang diberi nama NEST. Optimus Prime dan rakan Autobot lain bekerjasama dengan ketua pasukan, Mejar Lennox (Josh Duhamel) dan Sarjan Epps (Tyrese Gibson), dalam usaha mereka memburu saki-baki Decepticon yang masih bersembunyi di bumi. Malangnya, ketika berusaha membina hidup baru buat manusia, Autobot mendapati kehadiran mereka kini tidak lagi disenangi.

Optimus Prime, ketua Autobot, setuju untuk meninggalkan bumi jika itulah yang dikehendaki pemimpin dunia. Namun dia memberikan amaran, apakah akan terjadi jika pemergian Autobot sebaliknya mendedahkan dunia kepada bahaya lebih hebat?

Di kolej, Sam ditemukan dengan rakan yang berangan hebat dengan dunia mayanya, Leo (Ramon Rodriguez), serta pelajar perempuan yang cuba menggoda dirinya dengan apa cara, Alice (Isabel Lucas). Cuba menangani kehidupan baru sebaik mungkin, Sam bagaimanapun diganggu bayangan yang sering terpancar dalam mindanya. Dia bercelaru dengan pelbagai simbol yang timbul dalam otaknya. Decepticon kini menyedari, remaja itu sebenarnya memegang kunci kepada punca pertelagahan antara kebaikan dan keburukan.

Terpaksa melupakan kehidupan normal, dengan bantuan Autobot, askar Nest, bekas ejen kerajaan, John Simmons (John Turturro), Sam dan Mikaela kini mesti mendedahkan rahsia kehadiran Transformer di bumi, serta pengorbanan harus mereka lakukan demi menyelamatkan dunia daripada ancaman masa lampau yang penuh dendam, robot Decepticon yang dipanggil The Fallen.

Lakonan LaBeouf makin matang

PADA setengah jam pertama cerita, penonton dihidangkan dengan minit imbas kembali bagaimana bangsa robot sebenarnya pernah datang ke bumi serta babak di mana pasukan NEST cuba mencari saki-baki robot jahat yang bersembunyi di bumi. Tidak dilupakan, kemunculan Sam serta keluarga dan kekasihnya, serta bagaimana masing-masing cuba meneruskan kehidupan selepas insiden kehadiran makhluk asing dua tahun lalu.

Selepas babak huru-hara di Shanghai, mungkin suasana agak suram seketika apabila Sam berpindah ke kolej. Nasib baik karakter si ibu (Julie White) banyak menyelamatkan keadaan. Wataknya cukup seronok untuk ditonton, dengan sikapnya yang kelam-kabut dan kelakar. Namun, sebaik saja Sam mula menyedari kehadiran Decepticon di kampus, Revenge of the Fallen bertukar rentak menjadi lebih pantas dan babak mendebarkan silih berganti memenuhi layar lebar.

Paling tidak, tiga atau empat babak pertarungan sama ada antara robot baik dan jahat, serta manusia dan robot membuatkan penonton tidak senang duduk di kerusi. Aksi pertarungan di pinggir hutan antara Optimus Prime bersama beberapa robot Decepticon mungkin babak aksi paling menarik pernah dihidangkan di layar lebar sehingga kini.

Jika White menceriakan suasana pada separuh pertama filem ini, separuh keduanya pula menjadi milik pelakon John Turturro. Digarap lebih kelakar, lakonan sebagai bekas ejen kerajaan yang ditutup sektornya, cukup menjadi. Dia berjaya menghidupkan lagi babak komedi yang sememangnya ada saja diselit di mana-mana sepanjang lebih dua jam tayangan filem ini.

LaBeouf pula masih mengekalkan lakonan berkesannya sebagai anak muda yang terperangkap dalam misi menyelamatkan dunia. Cuma, kali ini dia lebih serius dan tampak matang, sesuai dengan kemasukannya ke universiti.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.