Semakin ramai selebriti Hollywood membuat keputusan mengecilkan payudara selepas diberitahu implan yang lama dipakai boleh menjejaskan kesihatan.
Antara selebriti itu termasuk Heidi Montag yang terkenal dalam siri The Hills yang mendapat tumpuan ramai pada 2010 apabila menjalani pembedahan membesarkan buah dada.
Namun, pada tahun ini, bintang berusia 20-an itu menyatakan dia sudah bosan dirujuk sebagai ‘gadis payudara bedah’ dan membuang implan itu.
Montag diberitahu pakar bahawa implan saiz-F itu tamat tempoh dan boleh menyebabkan tisu badannya terhakis dan implan berkenaan jatuh.
Langkahnya membuang implan itu bermakna dia menyertai Sharon Osbourne, Victoria Beckham, Heather Morris, Jenna Jameson, Tara Reid, Kimberly Stewart, Pamela Anderson dan Courtney Love.
Implan kecil popular
“Memilih implan lebih kecil tiga kali lebih popular daripada implan lebih besar bagi orang yang mahu mengubah saiz implan.
“Mungkin kita rasa ia bertujuan mengurangkan perhatian tetapi itu bukan jawapan biasa,” kata pakar bedah plastik Beverly Hills, Dr Gabriel Chiu.
Katanya, penjelasan biasa ialah orang itu sudah bosan menunjukkan payudara besar. Selain itu, mereka kurang selesa dengan payudara besar.
“Keadaan ekonomi dan budaya pop semasa juga memberi pengaruh besar mengapa mereka melakukannya,” katanya.
Chiu berkata, orang yang menunjukkan payudara besar ketika keadaan ekonomi meleset dianggap tidak beradab dan sebab itu ramai yang memilih saiz sederhana.
“Dalam isu implan payudara, lebih kecil lebih baik. Fesyen juga begitu dengan pakaian dipilih mengikut saiz sepadan,” kata Chiu.
Lebih penting lagi, kata pengurus model dan pereka fesyen, Nadja Atwal, membesarkan payudara tidak menjamin pemakainya mudah mendapat kerja.