Rutin kecantikan harian Irina Shayk
Peragawati terkenal, Irina Shayk akui ibunya adalah salah satu sebab dia mempunyai minat mendalam dalam solekan serta kecantikan.
"Ibu saya pernah bekerja dengan Avon satu ketika dulu. Ia secara tidak langsung membuatkan saya berminat dengan kecantikan, lebih-lebih lagi solekan. Ibu kelihatan cantik setiap pagi sebelum pergi bekerja," ujarnya seperti dipetik dari Telegraph.
Membesar di Rusia yang terkenal dengan rahsia kecantikan, Shayk menjadikan neneknya sebagai idola hidup kerana dia adalah seorang wanita berdikari dan kuat serta mampu menjaga dirinya sendiri.
Malah bagi kekasih kepada pemain bola sepak Cristiano Ronaldo ini lagi, ikon kecantikan bukan sahaja bermakna dia tampil jelita di hadapan orang ramai, malah perlu mempunyai hati yang baik.
Bercerita tentang rutin kecantikan hariannya, Shayk memberitahu dia memulakan harinya dengan meletakkan ais batu pada wajahnya.
"Saya akan menyapu rata ais batu itu pada seluruh wajah saya termasuk leher dan mata. Ia membuatkan kulit saya menjadi tegang, sekaligus memberi kesegaran pada awal pagi.
"Selain daripada itu, saya juga turut mengamalkan pengambilan air suam bersama buah lemon kerana ia baik untuk kulit serta sistem penghadaman," katanya.
Peragawati berusia 28 tahun ini juga sentiasa memastikan dia memakai krim pelindungan matahari setiap hari walaupun ketika musim sejuk.
"Saya jarang memakai solekan sejak kebelakangan ini, tetapi saya sukakan gincu. Ia memberi saya keyakinan dan menjadikan penampilan saya lebih seksi," akhirinya.
[Sumber Foto: Pictures BD]
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date