Borussia Dortmund mengesahkan legenda pecut dunia, Usain Bolt akan menyertai latihan selama beberapa hari bersama kelab Bundesliga Jerman itu.
Akhbar Inggeris, The Guardian sebelum ini memetik pemenang sembilan pingat emas Olimpik itu mengakui dia sudah berhubung dengan jurulatih kelab itu untuk menjalani latihan beberapa hari dan berkata "saksikan apa yang berlaku".Bolt sebelum ini menyatakan impiannya selepas kariernya di balapan berakhir adalah untuk menjadi pemain bola sepak profesional.
"Ia bukan jenaka, ia juga bukan strategi pemasaran," kata CEO kelab, Hans-Joachim Watzke.
"Ia sudah diputuskan untuk beberapa waktu," katanya sambil menambah bahawa idea itu disebut oleh pembuat barangan sukan, Puma, rakan kongsi pasukan dan Bolt.
"Bos Puma, Bjoern Gulden, yang juga ahli lembaga penyeliaan, memberitahu saya minggu lalu bahawa Usain bertanya adakah dia boleh berlatih bersama kami," kata Watzke.
"Saya berkata, tidak ada masalah...Kami gembira, ia satu penghormatan buat kami." Belum ada tarikh ditetapkan untuk Bolt menjalani latihan, kata Watzke.
Beliau menolak idea Bolt menyertai pasukan itu sebagai pemain bola sepak profesional, dengan memberitahu "ini adalah sesuatu yang kita tidak perlu bercakap mengenainya."
Bolt sering menyatakan impiannya untuk bermain bola sepak, jika boleh bersama Manchester United, dan memberitahu sekali lagi jika berjaya menyertai kuasa besar Liga Perdana Inggeris itu, ia "akan menjadi epik." - AFP.