NAMA M2M semakin dilupakan sejak kumpulan itu digugurkan daripada syarikat rakaman, Atlantic Records pada September 2002. Lagu hit mereka Don’t Say You Love Me dan Mirror Mirror yang popular sekitar tahun 2000 sedikit sebanyak membantu ingatan peminat kepada kumpulan dari Norway itu.
Marit Larsen semakin selesa bersendirian sehingga berjaya hasilkan dua album
Selepas dibubarkan, dua sahabat, Marion Raven dan Marit Larsen tidak lagi meneruskan karier mereka bersama. Marion meneruskan kerjaya solo sebagai penyanyi rock, manakala Marit pula memilih untuk berehat seketika dan menyambung pengajian yang tertangguh.Dua tahun bersembunyi, Marit bersedia untuk mewarnai kembali dunia nyanyian. Penyanyi berusia 26 tahun itu tidak pulang dengan tangan kosong sebaliknya membawa buah tangan yang lama dinantikan peminatnya iaitu album yang diberi judul Under The Surface.
Tiga minggu berada di pasaran, album solo pertamanya menerima sijil emas apabila berjaya terjual 20,000 unit.
Album keduanya menyusul dua tahun berikutnya. Berjudul The Chase berada di pasaran pada Oktober, 2008 dan seperti album sulungnya, karya Larsen ternyata begitu dinantikan peminatnya.
Di negara kelahirannya, Larsen dipuja, malah pencapaian demi pencapaian diterima penyanyi yang turut bergelar komposer itu. Namun ia berbeza di sini kerana jika disebut nama Marit Larsen, tidak ramai mengenali wanita ini kecuali disusuli nama M2M di belakangnya.
Zoom! berpeluang menemubual penyanyi yang mengecap populariti di usia 12 tahun diaturkan Warner Music menerusi telefon.
Menurut Larsen, dia mengaku memang tidak ramai mengenalinya kecuali kalau disebut dirinya seorang daripada bekas anggota M2M .
“Memang tidak dinafikan nama M2M cukup dikenali satu ketika dulu kerana kami pernah membuat persembahan di Malaysia. Saya sedar mungkin peminat mengambil masa untuk menerima kemunculan semula saya yang kini bergerak solo.
“Mereka juga mungkin memerlukan sedikit masa untuk menerima muzik yang saya bawakan kerana genre saya pilih berbeza dari dulu yang sesuai dengan umur saya ketika itu. Bagaimanapun, saya amat berharap dapat kembali semula bertemu peminat di Malaysia untuk memperkenalkan album baru saya The Chase,” katanya.
Mengenai Marion, Larsen berkata, sejak memilih haluan sendiri, dia memang sudah lama tidak berhubung dengan rakannya itu.
“Saya dan Marion sudah tidak berhubung sejak kami membawa haluan masing-masing. Lagipun kami tidak lagi tinggal di tempat yang sama jadi peluang untuk bertemu sangat susah,” jelas Larsen.
Hip: Boleh ceritakan perkembangan terbaru anda?
Marit: Saya baru saja selesai mengikuti konsert jelajah Jason Mraz selama lima minggu sejak Mac hingga April lalu di seluruh Eropah. Selain membuat persembahan pembukaan untuk konsert Jason Mraz, saya juga berduet dengannya menerusi lagu Lucky. Ia satu pengalaman menyeronokkan kerana dapat membuat persembahan di samping seorang bintang besar.
Hip: Bagaimana sambutan peminat terhadap album solo anda?
Marit: Penjualan album kedua, The Chase mencatatkan angka penjualan yang memberangsangkan. Album ini sangat akustik menggunakan instrumen gitar dan piano. Proses menyiapkannya mengambil masa setahun kerana saya amat teliti dalam menghasilkan album kerana ingin memastikan lirik serta melodi yang dihasilkan bagus. Saya tidak sangka peminat menerima kemunculan semula saya.
Hip: Sejak bila anda mula menulis lagu dan di manakah anda mendapat inspirasi menghasilkan lagu?
Marit: Menulis lagu sudah saya lakukan sejak usia 14 tahun. Dengan pembubaran M2M, sedikit sebanyak memberi peluang kepada saya kembali aktif melakukan hobi yang terpaksa dilupakan kerana kerap menjelajah menjayakan persembahan di luar negara. Inspirasi lagu kebanyakan datang dari pengalaman hidup. Sama ada kejadian yang berlaku di sekeliling hidup saya, atau inspirasi juga boleh datang daripada pembacaan buku yang menarik atau setelah menonton sesebuah filem. Kebanyakan lagu di dalam album saya berkisar mengenai cinta.
Hip: Tidakkah anda merasakan pembabitan dalam dunia nyanyian sebagai satu pengorbanan kerana anda terpaksa mengorbankan zaman remaja serta waktu untuk bersama keluarga dan rakan-rakan?
Marit: Saya tidak merasakan ia satu pengorbanan. Muzik adalah hidup dan jiwa saya. Saya seronok melakukan apa yang saya buat sekarang. Walaupun tidak dinafikan semua bebanan kini terletak di bahu saya seorang, tetapi saya gembira kerana berpeluang mempelajari banyak benda baru terutama dalam hal muzik.
Hip: Bagaimana pula terpaksa tinggalkan keluarga dan menjelajah ke luar negara untuk mempromosikan album?
Marit: Sewaktu masih bersama M2M saya merasa penat kerana terpaksa berada di beberapa negara dalam tempoh satu minggu. Ketika itu memang saya rindukan keluarga dan rakan-rakan, apatah lagi terpaksa menangguh pengajian kerana sibuk mempromosikan album. Tetapi apabila tidak terbabit dalam siri jelajah, saya berasa penat pula jika duduk di rumah terlalu lama. Jadi saya berasa amat seronok kerana jadual kembali terisi dengan siri jelajah bagi mempromosikan album.
Hip: Harapan anda kepada peminat terhadap The Chase?
Marit: Saya berharap peminat dapat menerima kehadiran album saya dan mahu mendengar muzik yang saya ketengahkan.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
Tags