Katy bersuara dalam gelap

Katy bersuara dalam gelap

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)



Katy bersuara dalam gelap

TERKENAL dengan stail pakaian unik yang sering kali digabungkan dengan warna terang dan fesyen era silam serta bermotifkan corak buah-buahan, Katy Perry juga popular kerana lagu-lagunya yang menimbulkan pelbagai kontroversi.

Bermula dengan lagu Ur So Gay dan kemudiannya, I Kissed A Girl, kedua-dua lagu yang dilihat menjurus kepada memperkatakan tentang golongan gay dan lesbian tersebut bukan sahaja mencetuskan kemarahan pelbagai pihak tetapi serentak itu bertanggungjawab memperkenalkan Katy ke peringkat global.

Berbekalkan album One of the Boys yang diterbitkan pada tahun 2008, pemilik nama Katheryn Elizabeth Hudson, 25, pernah dibatalkan kontrak oleh tiga syarikat rakaman. Hanya pada tahun 2007, Katy yang menandatangani kontrak bersama Capitol Music Group berjaya memasarkan produk sulungnya yang merangkumi lagu Hot N Cold, I Kissed A Girl dan Thinking Of You.

Dilahirkan di Santa Barbara, California, Katy mempunyai seorang kakak dan adik lelaki. Mula menyanyi di gereja pada usia sembilan tahun, Katy tidak dibenarkan untuk mendengar muzik lain selain daripada gospel. Suka menari dan bermain gitar, Katy memberitahu bahawa perspektif muziknya telah banyak berubah.

Jika dulu muziknya lebih terikat dan tegas kerana semuanya berkaitan dengan gereja, album arus perdana pertamanya itu pula lebih menjurus kepada rock. Suka berkarya bagi menghasilkan lagu, Katy mendapat inspirasi daripada perkara-perkara yang berlaku dalam hidupnya terutama apabila dirinya dilukai.

Dia mula bercinta dengan vokalis kumpulan Gym Class Heroes, Travis McCoy apabila mereka berdua bertemu pada sesi rakaman klip video Cupid's Chokehold (Gym Class Heroes). Selepas bercinta dan berpisah beberapa kali untuk beberapa tahun, pasangan itu akhirnya berpisah pada Disember 2008. Namun, mereka kembali bersama pada April 2009.

Rentetan daripada kejayaan album One Of The Boys yang sudah terjual sebanyak dua juta unit, edisi khas album itu akan menemui peminatnya pada 23 Jun ini. Ingin ketahui lebih lanjut mengenai album itu dan kehidupan Katy, ikuti petikan temu bual yang disediakan oleh Warner Music Malaysia.

Anda terkenal dengan stail unik yang tersendiri. Apakah stail anda sekarang?

Saya tidak suka mengikut trend. Saya tidak menyukai apa yang sedang hangat dipakai oleh orang lain. Saya memiliki imej tersendiri yang saya gelarkan sebagai Lolita Meets Old Hollywood Glam. Namun, ada kalanya saya akan menggabungkan fesyen supaya ia kelihatan lebih ranggi. Contohnya, saya akan menggabungkan gaun bengkung hitam dari Dolce & Gabbana dengan stoking kain renda serta kasut tumit lima inci.

Siapakah yang mempengaruhi muzik anda dan bilakah anda mula menulis lagu?

Ramai artis dan penulis lirik yang telah mempengaruhi ideologi saya. Seperti yang selalu disebut, Queen merupakan pengaruh terbesar dalam karier seni saya. Tetapi penulis lagu wanita seperti Jonatha Brook, Patty Griffin, Allison Krauss dan Joni Mitchell juga memainkan peranan yang penting.

Picture
DILAHIRKAN dalam keluarga yang agak konservatif, ketika kecil Katy tidak dibenarkan muzik selain daripada gospel.

Saya juga menyukai penyanyi berkumpulan yang popular pada tahun 1990-an seperti The Cranberries dan Garbage. Tidak dilupakan juga Fiona Apple dan Alanis Morrisette. Lagu Jagged Little Pill memberikan impak kepada saya. Salah satu memori masa kecil yang saya ingati adalah saya menyanyikan lagu Ironic di atas buaian.

Anda akan memasarkan edisi khas album anda yang merangkumi beberapa buah lagu baru. Ceritakan sedikit mengenai album itu.

Ia adalah hadiah saya kepada peminat. Menerusi album itu, saya ada masukkan dua lagu remix iaitu I Kissed A Girl dan Hot N Cold serta tiga klip video. Edisi khas ini adalah sesuatu yang ingin diberikan kepada peminat sementara saya bekerja untuk album baru saya. Jadi penantian itu tidak akan dirasakan terlalu lama.

Bercakap mengenai album terbaru anda, bilakah rasanya kita boleh mendengar lagu baru anda?

Tarikhnya belum ditentukan lagu tetapi saya ingin masa untuk merakamkan album kedua ini. Ia adalah bayi saya.

Apa yang tidak diketahui orang ramai ketika anda merakamkan album?

Satu perkara yang unik mengenai saya semasa merakamkan lagu adalah saya suka menutup semua lampu di dalam studio. Jika saya mengingati liriknya, saya tidak mahu apa-apa yang mengganggu pemikiran saya. Saya mahu menjadi suara dalam kegelapan. Tapi itu tidak pelik bukan?

Siapa yang memberikan idea untuk lirik I Kissed A Girl, and I liked it/The taste of her cherry ChapStick?

Saya sebenarnya. Saya bangun pada suatu pagi dan lirik itu terus keluar dan saya menyukainya. Dalam masa setahun lebih, saya tidak melakukan apa-apa. Semasa saya hampir menyiapkan lagu Hot N Cold bersama Dr.Luke, kami sedang dalam perancangan untuk merakam lagu baru. Maka, saya telah membuat keputusan untuk merakamkan lagu I Kissed A Girl dan gembira kerana melakukannya.

Picture
IMEJ unik berjaya menyerlahkan diri Katy lain daripada penyanyi lain.

Ibu bapa anda merupakan golongan konservatif dan disebabkan lagu I Kissed A Girl yang menimbulkan pelbagai kontroversi, adakah mereka marah dengan tindakan anda?

Apa yang pasti mereka tidak menyukai lagu Ur So Gay dan I Kissed A Girl tetapi mereka suka lagu lain dalam album saya itu. Tapi lagu itu adalah mengenai bekas teman lelaki saya dan bukannya orang lain secara umum. Ibu bapa saya sebenarnya sudah cukup bersyukur kerana saya tidak terlibat dalam benda-benda jahat. Jadi lagu-lagu itu tidak begitu memberikan kesan.

Berapa ramai bekas teman lelaki anda yang digambarkan dalam album One of the Boys?

Tiga. Satu daripadanya dalam lagu Ur So Gay. Untuk lagu Thinking of You dan I'm Still Breathing adalah mengenai lelaki yang sama. Lelaki terakhir pula ditulis dalam lagu Mannequin. Lagu itu sebenarnya menceritakan bagaimana saya memperbaiki hubungan saya.

KATY hanya makan sesuka hati ketika sedang bercuti sahaja.

Mana anda lebih suka, menjalani rakaman atau menyanyi secara live?

Rasanya saya lebih suka untuk menyanyi secara live kerana banyak benda boleh berlaku ketika itu. Saya boleh berinteraksi dengan penonton. Di dalam studio juga menyeronokkan kerana saya boleh mengambil sebanyak masa yang diingini. Tetapi tiada apa yang boleh menangani tenaga yang diperolehi di hadapan pentas.

Bagaimana anda menjaga badan anda?

Jika saya bercuti, saya akan makan apa sahaja yang diingini. Tapi jika saya sedang bekerja, makanan yang disediakan selalunya lebih kepada ayam panggang dan bukannya ayam goreng. Makanan lain pula adalah dari jenis organik dan saya suka mengambil minuman soya.

Kentang goreng perlu dijauhkan kerana jika ia berada di depan mata, saya akan mula makan. Minum banyak air juga amat penting. Saya tidak tahu bagaimana ada orang boleh hidup dengan diet soda. Ada di antara kawan saya yang tidak mengambil air kosong dan itu bukan sesuatu yang menyihatkan sebenarnya.

Apakah perancangan anda sebelum menyambut kedatangan tahun 2010?

Tiada apa-apa yang dipastikan lagi buat masa ini. Saya selalu suka untuk mengejutkan orang dan cuba untuk hidup seperti idola saya iaitu Freddie Mercury. Saya mula bekerja untuk album saya sejak berusia 18 tahun. Saya sudah menulis lebih 60 buah lagu dan kini ia sudah sedia untuk dipasarkan. Saya kini sudah kaya dan hidup saya amat sempurna.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.