SEGALANYA bermula apabila dia mengalami kecederaan selepas menyertai satu kejohanan gimnastik di peringkat negeri sehingga memaksa bintang baru ciptaan The Walt Disney Studios (Disney), Nicole Gale Anderson (Nicole), 18 bercuti panjang.
Sebaik sembuh, doktor mendapati tubuh pelakon remaja yang mula diperkenalkan menerusi drama bersiri popular, Hannah Montana itu tidak lagi kuat bagi membolehkannya meneruskan minat dalam sukan itu.
Peristiwa berlaku sewaktu dia berusia 14 tahun.
Kekecewaan dialami kerana tidak dapat meneruskan cita-citanya menjadi atlit gimnastik disegani bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Nicole ditawarkan biasiswa untuk menyertai sekolah peragaan di Atlanta, Georgia.Sewaktu dihubungi bagi mempromosikan drama bersiri terbaru lakonannya Jonas di kediamannya di Hollywood, Nicole berkata di situlah minatnya mula berbunga untuk menyertai dunia lakonan.
"Selepas cedera dan tidak boleh meneruskan pembabitan dalam sukan gimnastik, hati saya berasa sangat kecewa. "Impian saya besar. Selepas muncul juara di peringkat negeri, saya mensasarkan untuk menyertai pasukan kebangsaan dan mewakili Amerika ke sukan Olimpik.
"Atas faktor kesihatan doktor menasihatkan saya agar berhenti. Waktu itu ibu bertanya apa yang saya mahu lakukan? Puas berfikir, akhirnya saya memilih untuk menyertai bidang lakonan.
"Waktu sama, mungkin sudah ditakdirkan saya ditawarkan biasiswa untuk menyertai sekolah peragaan dan mula perlahan-lahan membabitkan diri dalam iklan komersial sebagai asas menimba ilmu lakonan," katanya.
Keinginannya untuk bergelar pelakon turut disertakan dengan kesungguhan apabila Nicole berpindah ke Glendale, California dan memasuki sekolah lakonan.
Pada waktu sama dia turut menyertai uji bakat yang dilakukan kebanyakan syarikat produksi di Hollywood.
Namanya Nicole mula dikenali apabila digandingkan dengan bintang remaja popular Miley Cyrus menerusi sitkom Hannah Montana.
Berasakan dia berbakat, Disney terus mengekalkannya sebagai artis dalaman dan membintangi beberapa lagi drama dan sitkom seperti Zoey 101 dan Carly.
Bakat dimiliki membolehkan Nicole dipilih untuk bergandingan dengan kumpulan penyanyi popular The Jonas dianggotai Nick, Joe dan Kevin menerusi sitkom, Jonas yang bakal ditayangkan di Malaysia pada 9 Ogos ini menerusi saluran Disney.
"Pihak Disney memanggil saya untuk uji bakat watak Casy Misa, seorang yang lurus bendul dan amat meminati kumpulan Jonas Brothers.
"Waktu itu tidak ramai yang dipanggil, cuma 15 orang jadi saingan tidaklah besar. Menariknya kawan baik saya Chelsea Staub terlebih dulu menerima tawaran untuk memegang watak Stella Malone, seorang penata gaya kepada kumpulan popular itu.
"Seronok apabila dapat bekerja dengan rakan baik sendiri dalam produksi ini kerana apa saja masalah timbul saya ada tempat untuk mengadu dan berbincang," katanya.
Bercerita mengenai pengalamannya bekerja dengan dua remaja paling popular di Amerika iaitu Miley dan The Jonas, jelas Nicole, pada peringkat awal memang dia risau memikirkan jika mereka terlalu cerewet atau mementingkan diri.
"Sebaliknya apabila penggambaran dimulakan apa yang saya bayangkan langsung tidak berlaku.
"Malah, Miley sebaik mungkin memastikan semua pelakon terbabit berasa selesa bekerja di sampingnya.
"Mereka juga tidak sombong dan ramah melayani pelakon yang ada. Dalam erti kata lain, Miley dan anggota The Jonas sangat merendah diri.
"Saya percaya sikap mereka begitu kerana didikan ibu bapa yang tidak pernah mengajar anaknya untuk besar kepala walau bergelar bintang terkenal," katanya.
Menerusi senarai drama pernah dibintangi, ternyata Nicole dilihat antara bintang muda yang sedang digilap Disney untuk mencipta nama seperti Miley dan The Jonas. Lebih-lebih lagi kecantikan wajah dimiliki menjadi kelebihan.
Strategi Disney mahu memasarkan Nicole sebagai bintang yang boleh diterima bukan saja di Amerika, tetapi juga Asia memandangkan ibunya berasal dari Filipina.
Namun bersediakah gadis cilik ini dengan populariti lebih besar, sekali gus diangkat menjadi idola remaja?
"Saya tidak pernah terfikir sehingga ke arah itu. Menjadi idola remaja rasanya gelaran itu terlalu berat untuk saya bawa.
"Saya lebih suka menjadi diri sendiri dan hidup seperti orang lain. Begitupun itulah harga yang perlu dibayar bagi mereka bergelar selebriti.
"Sekiranya benar saya diterima dan diminati ramai, cuma apa yang saya harapkan peminat melayani saya seperti rakan mereka dan tidak bersikap keterlaluan," katanya.
Menyentuh perancangan kerjaya seni pada masa akan datang, jelas Nicole, dia mahu mengikut jejak langkah pelakon bertaraf gred A, Reese Witherspoon yang mampu melakonkan apa saja jenis watak dan berjaya memenangi anugerah Oscar untuk pelakon wanita terbaik.
"Saya teringin berlakon di sampingnya dan memegang watak yang pernah dilakonkan seperti Legally Blonde dan Walk The Line.
"Pada saya Reese adalah contoh terbaik yang boleh diikuti oleh mereka yang mahu menjadi pelakon yang berjaya," katanya.
Profil
Nama Penuh: Nicole Gale AndersonPanggilan: Nicole
Tarikh Lahir: 29 Ogos 1990
Umur: 18 tahun
Asal: Rochester, Indiana, Amerika Syarikat
Keluarga: Anak kedua dari tiga beradik. (Abang bernama Kenneth dan adik perempuan, Nadine)
Kerjaya: Model iklan dan pelakon
Binatang Peliharaan: Anjing Eskimo bernama Fendi Fondu
Hobi: Merentas desa, membaca, memasak, mengait, membeli-belah dan menonton filem klasik
Pencapaian: Juara dua kali peringkat negeri sepanjang 10 tahun pembabitannya dalam sukan gimnastik.
Drama: Hannah Montana, Princess - A Modern Day Fairytale, Unfabulous, Zoey 101, Sunday Sunday Sunday, Carly dan Jonas
Iklan: Mary Kate & Ashley Online Clothing, Every Girl, Stand Up, Bratz Pretty 'n' Punk dan Treasures
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date